Saturday, June 13, 2009

BERKAT KASIH SAYANG



“Mamat, Mamat!” jerit Mak Mah.

Hampir lima atau enam kali Mak Mak memanggil nama Mamat tetapi Mamat tak muncul-muncul juga.

“Mana pulaklah budak ni,” bisik hati Mak Mah.

Nampaknya Mak Mah terpaksa melakukan kerja-kerja di rumah sendirian. Mamat sudah hilang entah ke mana.

Begitulah nasib Mak Mah. Suaminya baru sahaja meninggal dunia beberapa minggu lalu. Dia terpaksa mengharapkan anaknya Mamat untuk membantu kerja-kerjanya di rumah kerana dia sendiri tidak sihat.

Di pinggir sebatang sungai di hujung kampung, Mamat membaling-baling batu yang baharu dipungutnya ke dalam sungai. “Ha, kali ini batu aku lagi jauh!” Mamat menjerit kepada kawannya, Samad.

“Mana pulak! Batu yang aku baling tadi lagi jauh. Engkau salah tengoklah Mamat.”

“Engkau ni asyik nak menang saja. Bila aku menang pun engkau tak mahu mengaku,”
jawab Mamat pula.

Mamat dan Samad terus bertelagah sehinggalah kedua mereka hilang sabar. Seperti dirasuk syaitan, Mamat bergelut dengan Samad walhal perkara yang diselisihkan hanyalah soal yang sangat kecil sahaja. Mamat menarik baju Samad sehingga terkoyak, dan Samad pula membalas dengan menarik bag yang sedang disandang oleh Mamat. Bag itu lantas dicampaknya ke dalam sungai yang sedang deras mengalir.

“Ya Allah, beg emak aku dah hanyut!” jerit Mamat.

“Samad, tengok apa yang engkau dah buat ni. Itu beg mak akulah. Ada duit dalam tu tau. Itulah duit untuk kami dua beranak nak makan seminggu ini. Kau kan tahu kami ni orang miskin. Sekarang apa yang kami nak makan?”

“Ya ke? Manalah aku tahu. Itulah engkau cepat sangat panas baran. Yang engkau tarik baju aku hingga koyak tu apa pasal?”

“Engkau yang tak berhati perut. Sekarang tengok apa dah jadi. Mesti mak aku marah nanti,”
jawab Mamat tak mahu mengalah.

Kebetulan, seorang nenek sedang berjalan di tepi sungai itu. Dia memerhatikan gelagat Mamat dan Samad sejak tadi lagi. Nenek itu menghampiri mereka berdua untuk memberikan sedikit nasihat.

“Nak, tak elok bergaduh macam ni. Bila kita bergaduh, bermakna kita tidak mendapat kasih sayang Tuhan. Bila Tuhan tak sayang, tentulah banyak masalah yang akan menimpa kita. Buktinya, baju anak yang ini dah koyak, anak yang ini pula sudah kehilangan bag milik maknya. Sudah tentu bila balik nanti, masing-masing akan dimarahi pula oleh emak masing-masing."

" Sebaliknya, kalau kita berbaik-baik dan berkasih sayang dan tinggalkan pergaduhan dan pertelagahan, Tuhan juga akan sayang kepada kita. Bila Tuhan sayang, masalah kita akan selesai dengan mudah. Mana satu jalan yang anak-anak nak pilih, jalan yang mudah atau jalan yang penuh masalah? ”


Entah kenapa nasihat nenek itu sangat memberi kesan kepada Mamat. Sudah ramai orang yang memberi nasihat kepadanya tetapi ditolaknya begitu sahaja. Mungkin kerana wajah nenek itu yang begitu tenang, hati Mamat benar-benar tersentuh melihat ketenangan yang dimilikinya. Sangat berbeza daripada air mukanya sendiri yang bengis dan selalu berkerut.

Fikiran Mamat mula menerawang. Memang benar, hidupnya sangat banyak ditimpa masalah. Yang satu belum selesai, datang yang lain pula. Kerana itulah dia sering rasa tak tenang, rasa tak bahagia. Dan kerana itu jugalah dia suka merayau-rayau dan membuat kacau di sana sini.

Setelah nenek itu pergi, Mamat pun berkata kepada Samad, “Samad, betul kata nenek itu kan. Rupa-rupanya sebab aku tak suka berkasih sayanglah, aku ni selalu dibenci orang. Hidup aku selalu ditimpa masalah. Sekarang aku nak berbaik-baik dengan engkau. Aku nak tengok betul tak nasihat nenek itu tadi.”

Samad tercengang-cengang melihat perubahan Mamat. “Betul ke Mamat ni nak jadi baik?”

Samad seperti tidak percaya. “Baguslah tu Mamat. Aku pun minta maaf kepada engkau sebab aku dah campak bag emak engkau ke dalam sungai. Engkau cakaplah pada mak engkau yang itu adalah angkara aku.”

“Tak, sebenarnya aku yang salah. Perbuatan engkau itu sebenarnya hukuman Tuhan kepada aku. Biarlah aku dimarahi emak aku.”

Mamat pun balik ke rumah. Di sepanjang jalan, dia memikir-mikirkan dosa-dosa dan kesalahannya selama ini. Dia berazam untuk tidak mahu bertengkar lagi. Mamat terkejut apabila dia sampai ke rumahnya, emaknya tidak marah-marah kepadanya seperti biasa.

Sebalinya, emaknya cuma tersenyum kepadanya. “Syukurlah engkau dah balik. Emak rasa bimbang tadi. Mula-mula emak marah tengok engkau tak ada, tetapi bila emak ke kebun dan ternampak bangkai seekor anjing yang dilanggar kereta, emak terus teringatkan engkau. Emak risau pasal engkau.”

“Padanlah dia tak marah aku. Betul cakap nenek tadi. Bila aku dah tak mahu bergaduh, cepat sahaja Tuhan bantu.”

“Mamat, tolong ambil air di sungai tu,”
jerit Mak Mah dari belakang rumah.

Mamat terus bingkas dan mengambil dua biji balang untuk diisi air. Oleh kerana cuaca agak mendung, Mamat berjalan dengan pantas ke sungai tadi. Dia tidak mahu terperangkap dalam hujan lebat.

Sebaik sahaja Mamat selesai mengisikan air ke dalam balang-balang air tadi, dia ternampak sesuatu yang tersekat di balik sebiji batu besar di tepi sungai. Mamat mendekatinya dan alangkah terperanjat dia! Benda itu ialah beg yang hanyut tadi. Dengan kuasa Tuhan, beg itu tersekat di batu itu.

Mamat menangis terharu. Dia benar-benar merasakan kasih sayang Tuhan kepadanya. Memang benarlah kata-kata nenek itu tadi, Tuhan mengasihi hamba-hambanya yang cuba berkasih sayang dan meninggalkan pergaduhan dan persengketaan.