Monday, June 15, 2009

Bandar Tasik Puteri dalam METRO 15 jun 2009

Kejar ambulans tersesat jalan


TAK BERFUNGSI...lampu jalan tidak menyala menyebabkan
gelap pada waktu malam.

RAWANG: “Takkan mahu tunggu ada kematian baru nak ambil tindakan?” Itulah luahan hati penduduk Blok 1 B Park Avenue, Bandar Tasik Puteri di sini, yang menanggung derita lebih lima tahun kerana kawasan perumahan ‘tersorok’ dan tiada kemudahan asas.

Mereka mendakwa, ketiadaan papan tanda dan lampu jalan tidak berfungsi menyebabkan ramai yang tidak tahu wujudnya kawasan perumahan di situ hinggakan apabila kecemasan, ambulans gagal mencari rumah penduduk.

Pengerusi persatuan penduduk, Ismail Hassan, berkata sebelum ini persatuan penduduk ada bertemu pemaju bagi bertanyakan masalah berkenaan, namun pemaju memberi alasan masih banyak pembangunan yang akan dilakukan di kawasan berkenaan.

“Tiada apa yang kami harapkan, cukuplah jika pemaju bertanggungjawab terhadap kawasan penempatan ini.

“Kami beberapa kali berjumpa pemaju untuk bertanyakan hal ini, namun mereka memberi alasan sama iaitu kawasan ini masih dalam pembangunan.

“Sampai bila kami mahu tunggu? Lampu jalan yang tidak berfungsi mengakibatkan banyak berlaku kemalangan terutama pada waktu malam serta kes pecah rumah,” katanya.

Malah katanya, memburukkan lagi keadaan apabila baru-baru ini seorang pembantu rumah jirannya terjatuh dalam bilik air dan diserang sawan.

“Kami menunggu ketibaan ambulans selama 35 minit kerana sesat dan keliru akibat tiada papan tanda ke kawasan ini sehingga jiran terpaksa mengejar ambulans terbabit.

“Bayangkan jika berlaku kebakaran dan bomba tidak dapat mencari tempat kami, bagaimana?” katanya.

Penduduk, Ahmad Affendi Ariffin, 41, berkata sebelum ini mereka pernah mengambil inisiatif membuat papan tanda sendiri bagi memudahkan rakan dan saudara mara datang ke perumahan terbabit.

Malangnya, papan tanda itu dicabut dan dirosakkan pihak tertentu yang tidak puas hati dengan inisiatif yang dibuat.

“Kami hanya mahu memberi kemudahan kepada mereka yang bertandang ke sini, namun apa yang kami usahakan tidak disenangi beberapa pihak dan hingga kini saya terpaksa menjemput mereka di hadapan jalan, jika tidak pasti sesat,” katanya.

Zuriani Alias, 35, pula berharap pemaju dapat menukar nama blok yang digunakan sekarang kepada nama lain seperti fasa atau seksyen bagi mengelakkan kekeliruan.

“Ramai menganggap kawasan yang kami sekarang kawasan rumah pangsa dan apartmen kerana perkataan blok yang digunakan pada alamat di sini,” katanya.